Saturday 28 January 2012

kembara..

KEMBARA


          Aku merupakan peminat setia kumpulan Kembara yang ditubuhkan di Singapura pada awal tahun 80-an.Ia bermula apabila M Nasir yang ketika itu menjadi penolong penerbit utk beberapa album terbitan Polygram (s'pore) ketika itu telah mendapat idea untuk menubuhkan sebuah kumpulan penyanyi .Idea sebenarnya dicetuskan oleh Eric Yeo penerbit album-album Polygram ketika itu memandangkan M Nasir berbakat besar sebagai seorang penyanyi,pencipta ,penerbit album dan penulisan lirik.Lagipun ketika itu M Nasir sudah mempunyai album solonya yang pertama tetapi kurang berhasil sambutannya dan album duet bersama Yunizar Hussien yang memuatkan beberapa lagu-lagu solo dan lagu-lagu duet yang hingga sekarang menjadi siulan penggemar lagu-lagu lama.Antara lagu-lagu hebat yang terdapat di dalam album duet tersebut ialah lagu Dia Ibuku,Suatu Masa,Dedaun Masa,Masing-Masing,Lihatlah dan lagu evergreen Dua Insan.
           Lebih kurang pada tahun 1980 (kalau tak silap) lahirlah album pertama Kembara yang berjodol 'Kembara' menampilkan M Nasir,A Ali dan Sahlan Tajudin dengan beberapa lagu hit seperti Hati Emas,Senandung Buruh Kasar,Ekspress Rakyat,Malam dan Oh Bulan.Sebenarnya pada awal penubuhan Kembara ia dianggotai oleh 5 orang .Dua orang lagi yang dimaksudkan ialah Eddy Ali dan Eddie Noor Ali (abang kepada Ebby Saiful) tetapi mereka telah menarik diri ketika proses rakaman sedang berlangsung dan menubuhkan kumpulan mereka sendiri yang bernama Kalibers tetapi album-album mereka kurang mendapat sambutan lalu akhirnya kumpulan ini berkubur tanpa meninggalkan sebarang lagu-lagu hit untuk dikenang.Kalau adapun hanya lagu 'Kalaulah' yang dipetik dari album terakhir mereka yang dikira popular tapi kini sudah dilupai.Bersama Kembara mereka sempat merakamkan sebuah lagu yang dikira merdu dan menarik yang berjodol Agar Kau Mengerti ciptaan dua bersaudara ini sementara lirik ditulis oleh M Nasir.

album pertama Kembara "Kembara'
A Ali pula merupakan seorang pemuzik handalan dan pernah bersama Sweet Charity di awal kemunculan mereka.Beliau jugalah yang menjadi pemain gitar utama untuk kebanyakan album-album Kembara sebelum mereka berpecah.Beliau juga berbakat sebagai penyanyi dan hasilnya beliau turut menyumbangkan suara di dalam album-album Kembara yang lain.S Sahlan merupakan muka baru di dunia seni ketika itu dan tidak dikenali di ketika itu tetapi mempunyai vokal yang cukup menarik.Lagu-lagu lain yang terdapat di dalam album pertama ini ialah Ragam Mat dan Minah nyanyian/ciptaan A Ali,Lagu Utk Seorang Ibu,Hidup Cara Sendiri dan Kota dan Gadis.
  A Ali juga merupakan seorang komposer yang hebat dan pernah terlibat di dalam pembikinan album pertama M Nasir dan turut mencipta beberapa buah lagu untuk Kembara dan kebanyakkan lagu-lagu ciptaan beliau dinyanyikan sendiri oleh A Ali.

album Perjuangan
    Album kedua Kembara (Perjuangan) diterbitkan oleh Kembara sendiri setelah kejayaan album yang pertama.Mereka masih mengekalkan anggota yang sama dan kali ini lagu-lagu mereka lebih menarik.M Nasir jua mencipta sebuah lagu berjodol Bas No 13 yang dianggap menarik dan beberapa lagu lain seperti Perjuangan,Impian Anak Nelayan (nyanyian Sahlan),Di Suatu Keramaian .Salah sebuah lagu yang cukup menarik dan popular ialah lagu Sekuntun Bunga Pelastik ciptaan A Ali.A Ali juga mencipta sebuah lagu khusus untuk penjual suratkhabar yang bertajuk Penjual Surat Khabar.Arwah isteri M Nasir Junainah turut mencipta sebuah lagu bertajuk Kafilah sebuah lagu berentak irama padang pasir.Lagu-lagu lain adalah lagu Ada Sepasang Mata ciptaan A Ali dan Kepadamu Kekasih sebuah lagu yang cukup indah melodinya ciptaan dan nyanyian M Nasir.










album Generasi Ku
Album Generasi Ku merupakan album ketiga Kembara.Kali ini Sahlan tidak lagi bersama Kembara setelah dia ditawarkan membuat album solo tetapi sayang penampilan beliau secara solo tidak mendatangkan hasil seperti yang diharapkan.M Nasir dan A Ali terus berjuang bersama Kembara.Di dalam album ini M Nasir seolah-olah ingin menguasai keseluruhan penciptaan lagu dan membenarkan hanya sebuah lagu ciptaan A Ali dirakamkan iaitu Kiambang.Ironinya M Nasir yang mendendangkan lagu tersebut.Lagu Di Perhentian Pudu Raya sebuah lagu evergreen ciptaan M Nasir tetapi dinyanyikan oleh A Ali.Hanya sebuah lagu di mana M Nasir bergandingan secara duet dengan A Ali menerusi lagu Musim.Lain-lain lagu dimonopoli oleh M Nasir sendirian dan A Ali hanya sebagai penyanyi latar sahaja.Antara lagu-lagu hit lain yang terdapat di dalam album ini ialah Gerhana,Kolar Biru,Kawan,Jalan Sehala,Empat Penjuru,Dunia Tanpa Cinta dan Kami Anak Zaman Ini di mana kesemuanya adalah lagu ciptaan M Nasir.Ini antara album yang boleh dikatakan menarik dan terbaik.



Album keempat Kembara yang berjodol Seniamn Jalanan diterbitkan pada tahun 1984 merupakan album terakhir A Ali bersama Kembara.Hanya sebuah lagu nyanyian beliau yang dirakamkan di dalam album ini bertajuk Cetak Rompak yang akhirnya dimuatkan di dalam filem Kembara Seniman Jalanan yang diterbitkan pada tahun berikutnya.Selebihnya adalah lagu-lagu ciptaan dan nyanyian M Nasir.Banyak lagu-lagu yang menarik tetapi sambutan untuk album ini kurang menggalakkan.Terdapat sebuah lagu yang hingga kini menjadi kegemaran ramai iaitu lagu Keroncong Untuk Ana yang terus diminati sehingga kini.
Lain-lain lagu yang terdapat di dalam album ini seperti Nusantara,
Cetak Rompak,Warung Sederhana,Untuk Dunia Yang Lebih
Bahagia,Impian Anak Jalanan,Benteng,Kutu dan Kupu-Kupu.





Setelah Eddy Ali dan Eddie Noor Ali meninggalkan Kembara pada awal kemunculan mereka,giliran Sahlan pula meninggalkan kumpulan ini dan disusuli pula oleh A Ali tidak lama kemudian.Akhirnya M Nasir bertindak memanggil beberapa pemuzik yang sering memainkan lagu-lagu di dalam album-album terdahulu dan digabungkan menjadi sebuah kumpulan Kembara yang baru yang berbentuk kumpulan muzik seperti band-band yang lain.Jadilah Kembara sebuah pop/rock band yang bersaing dengan beberapa kumpulan muzik yang sedia ada ketika itu.Salah seorang anggota Kembara ini adalah Zulkifli Muhammad yang merupakan adik kepada M Nasir yang bertindak sebagai penyanyi dan gitar utama.Di dalam album yang berjodol 1404H ini beberapa ahli kumpulan ini turut menyanyikan beberapa buah lagu di samping M Nasir sendiri sebagai penerbit,komposer dan penyanyi utama.Bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Al Jawahir
dari Singapura Habibah Othman turut diundang berduet bersama M Nasir menerusi lagu Menentang Badai.
Sambutan untuk album ini kurang memuaskan kerana peminat Kembara ketika itu merasa kejanggalan yang
dirasai apabila membeli album ini kerana ia berbeza dengan album Kembara yang terdahulu.Lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini seperti Bunga Bakawali,Menentang Badai,Perwira,Buta Tanpa Cinta,Rindu,Kami Orang Melayu,Keroncong Untuk Ana 11,Bukan Senang Nak Senang,Tarian Hidup dan Nyanyian Jiwa.Lagu Tarian Hidup adalah dipetik dari filem Azura tetapi dinyanyikan oleh Syed Sobrie di dalam filem tersebut.Kesemua lagu adalah ciptaan M Nasir.

4 comments:

  1. Kembara memang terbaek la. Legend!

    ReplyDelete
    Replies
    1. mereka legend sepanjang zaman.Terimakasih komen yg diberi.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Saya juga meminati Kembara. Cuma saya baru ni perasan yang cover album ini bercirikan freemason yang mana simbol mata satu, checkered board begitu terserlah. Adakah terikut-ikut atau ideology implant dibawah control mind? Harap tidak tapi tidak dapat dinafikan penampakkannya.

    ReplyDelete